Anugerah Juara Lagu ke-29

Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) merupakan konsert dan majlis penghargaan tahunan bagi karya muzik Malaysia yang diperkumandangkan dalam carta Muzik Muzik TV3 musim 2014. Adalah diumumkan bahawa tema AJL29 adalah “Gema dalam Muzik” iaitu "kembali kepada elemen asas dan intipati sesebuah muzik."[1][1] Hadiah bagi pemenang juga ditingkatkan dari tahun lepas, iaitu RM50,000 beserta trofi untuk Juara Lagu, RM35,000 untuk naib juara dan RM20,000 untuk tempat ketiga. Pemenang Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik juga masing-masing menerima hadiah RM20,000.[1]Lagu "Apa Khabar" ciptaan Mikail Lozach (SonaOne) dan Johan Ishak (Joe Flizzow) nyanyian Joe Flizzow dan Sonaone mengungguli Anugerah Juara Lagu Ke-29 manakala lagu "Masih Aku Cinta" (Shila Amzah) dan "Di Pintu Syurga" (Tam Mustafah / Rudy Imran) masing-masing memenangi tempat kedua dan tempat ketiga. Buat kali kedua, penyanyi gantian memenangi kategori Persembahan Terbaik apabila sekumpulan pemuzik jalanan berstatus kelainan upaya (OKU), Caliph Buskers membuat persembahan lagu "RomanCinta" bersama kumpulan Mojo dengan Azmi Saat (vokalis) menggantikan Aweera (vokalis asal) yang tidak dapat membuat persembahan berikutan krisis pertukaran vokalis. Hal ini menimbulkan isu dimana Aweera merasakan bahawa Edry Abdul Halim hanya meminta simpati pihak AJL untuk memenangi persembahan terbaik dengan penggunaan penyanyi (OKU). Malah, majoriti penonton AJL juga berpendapat bahawa persembahan Stacy "Gilalah" yang meriah dan dihangatkan dengan bola lantun selayaknya memenangi anugerah persembahan terbaik. Untuk rekod lagu rap, rapper RJ pernah memenangi anugerah ini ketika mewakili Malique Ibrahim untuk lagu "Teman Pengganti" pada tahun 2012. Caliph Buskers juga telah trending di Twitter selepas persembahan mereka.[2] Vokal Terbaik pula dimenangi oleh penyanyi berpengalaman, Dayang Nurfaizah menerusi lagu "Di Pintu Syurga". Ini penyertaan lagu keempat Dayang setelah bertanding dalam dua edisi sebelum ini manakala komposer Tam Mustafah merupakan bekas pemenang AJL 19, 10 tahun lalu dengan lagu "Relaku Pujuk". Acara tahun ini ditaja oleh produk kosmetik tempatan Pamoga dan Qu Puteh[3].